Bissmillahhirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan hidayah-Nya, Laman Web ini dapat diadakan. Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang berjaya merealisasikan kewujudan web ini dengan jayanya. Semoga kejayaan adanya web ini akan menjadi inspirasi kepada semua warga SMKTPD untuk mencapai kegemilangan. Namun tugas utama kita ialah Ilmu Pengetahuan. Sesungguhnya, usaha mencari ilmu memerlukan banyak kesabaran dan kesungguhan. Kita perlu tabah menghadapi pelbagai cabaran dan tekanan yang mendatang. Anggaplah cabaran yang melanda kita umpama proses kejadian berlian di perut bumi. Semakin banyak proses alam dilalui, semakin bernilai harga berlian itu. Begitulah kita, semakin banyak dugaan dan ujian yang ditempuh dalam proses pencarian ilmu, semakin bernilailah ilmu yang diperoleh. Nescaya, keindahan cahaya kegemilangan pasti akan menerangi kehidupan setiap insan yang tidak jemu-jemu meneroka dunia ilmu. Akhir kata, saya berharap semua warga SMKTPD akan terus mengorak langkah bagi menyemarakkan budaya ilmu dan seterusnya memartabatkan institusi pendidikan dalam usaha melahirkan generasi yang berwawasan. Semoga anak-anak pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Port Dickson akan terus menerajui kecemerlangan. Sekian, terima kasih. "BERKHIDMAT UNTUK NEGARA" "PENDIDIKAN CEMERLANG SMKTPD TERBILANG" (ABDUL WAHID BIN ABDUL GHANI) Pengetua SMK Tinggi Port Dickson Darul Khusus |